Have an account?
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Tuesday, 10 August 2010

Hadis Tentang Fadhilat Ramadhan


Hadis 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu." Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadis 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."
Hadis 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."
Hadis 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadis 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadis 6 
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Sumber : Darulnu'man.com



Kesilapan di Bulan Ramadhan

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

RAMADHAN : Antara Ibadah & Adat

Umat Islam seluruh negara telah melangkah masuk ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadan, suasana baruyang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil  tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa sebagai adat atau pesta tahunan.  

Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan al-Quran dan sunah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri tingkah laku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap adat semasa ialah:  

* Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan  minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud  hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi) 

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat  berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa  dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000  orang.

* Malas membaca al-Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan  mengkhatamkan al-Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril   a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).  

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun:  99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan  pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa  berkat. (Rujuk-   http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

* Tidak menunaikan sembahyang fardu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat  Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa  dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

Thursday, 27 May 2010

Sentiasa Memelihara Lidah.

Oleh : Yahaya Ismail
Antara anggota penting manusia yang wajib diberikan perhatian adalah lidah. Tanpa lidah manusia tidak dapat menuturkan kata-kata dengan baik. Dengan lidah juga manusia dapat bermain kata-kata. Dengan lidah juga manusia dapat menghancurkan segala-galanya. Kerana pentingnyanya lidah, ia harus dijaga supaya tuturkata yang keluar daripada lidah tidak mendatangkan kesan buruk kepada orang ditutur dan tidak memperondak-perandakan masyarakat.

Walaupun lidah hanya anggota yang kecil dan tidak bertulang, tetapi ia mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan manusia. Lidah boleh memartabatkan seseorang manusia. Seringkali manusia dimuliakan kerana lidahnya. Lidah juga boleh menjatuhkan seseorang manusia dan seringkali manusia hina kerana lidahnya. Pendek kata, lidah boleh menaikkan imej seseorang dan lidah juga boleh menjatuhkan seseorang dalam sekelip mata.

Sebab itu lidah boleh membawa kebahagiaan dan Lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada seseorang. Bak kata pepatah, "sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa."

Jika kita perhatikan kepada perbualan para remaja dan muda-mudi kita sekarang, kita akan dapati bahawa perbualan mereka tidak lengang dari perkataan lucah dan kotor, memaki satu sama lain, mencarut,samada secara sedar atau tidak sedar, samada secara sungguh-sungguh atau main-main.

Kemudian kita bandingkan pula dengan perbualan kita sesama kawan rapat kita di pejabat. Kita perhatikan kadang-kadang perkataan-perkataan yang kita ucapkan tersebut juga mempunyai unsur-unsur umpatan dan pembohongan ataupun seumpamanya.

Kemudian kita juga perhatikan perbualan dan percakapan masyarakat kita seharian. Nescaya kita akan dapati percakapan mereka bercampur dengan unsur-unsur kata-mengata, umpat-mengumpat,caci-mencaci, fitnah-menfitnah dan sebagainya yang boleh menyakitkan hati orang yang diumpat.

Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman di dalam surah An-Nisaa, ayat 114 maksudnya: "Tidak ada gunanya pada kebanyakan dari bisikan-bisikan mereka melainkan sesiapa yang menyuruh memberi sedekah, atau berbuat baik, ataupun mengadakan perdamaian antara bangsa manusia. Dan barangsiapa yang melakukan demikian kerana mengharapkan keredhaan Allah maka Kami (Allah) akan memberinya ganjaran yang besar."

Allah s.w.t dengan tegas mengatakan bahawa perbualan dan percakapan manusia menjadi sia-sia saja kecuali pada tiga perkara iaitu a. menyuruh orang memberi sedekah, b. menyuruh orang berbuat baik dan c. mendamaikan antara dua pihak yang bergaduh.

Sebab itu, perbualan umum antara manusia seperti berborak-borak, bergurau senda yang berlebihan,menceritakan hal orang dan sebagainya adalah satu perbuatan yang sia-sia, malah boleh mendatangkan
dosa.

Mungkin antara punca mengapa bangsa kita masih tidak bersatu dan bersepakat, kerana punca lidah kita sendiri yang mendoakan agar diri kita diberikan bencana. Kita berdoa agar sahabat kita ditimpa musibah dan kecelakaan. Tutur kata kita yang melahirkan permintaan begitu. Perbualan seharian kita, kita selangi dengan perkataan kotor, kita sulami dengan maki hamun. Walaupun ia tidak disengajakan, walaupun ia
tidak dimaksudkan, akan tetapi secara tidak langsung kita telah mendoakan agar kawan kita ditimpa kemalangan dan kehancuran. Ini bukan ajaran Islam. Ini bukan adab seorang Muslim. Dan ini bukan didikan dari Rasulullah s.a.w.

Kita mengaku bahawa kita cintakan Rasulullah. Kitalah orang pertama sekali menentang jika ada sesiapa yang cuba merendah-rendah serta menghina Rasulullah. Akan tetapi cinta kita kepada Rasulullah itu tidak disertakan dengan perbuatan kita. Kita ketepikan sifat-sifat baik yang ada pada Rasulullah yakni kita tidak meniru adab dan akhlak-akhlak terpuji Rasulullah.

Dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina."

Inilah sifat orang mukmin sebenar, orang yang beriman dengan Allah dan RasulNya. Kita beriman dengan Allah dan RasulNya. Kita adalah orang yang beriman. Selayaknya kita adalah orang yang pertama juga
yang tidak mengamalkan perkataan-perkataan yang kotor, caci-maki dan hina-menghina.

Oleh sebab itu, dalam satu hadith yang lain lagi Rasulullah s.a.w bersabda: "Waspadalah kamu dari kata-kata kotor, kerana sesungguhnya Allah Ta'ala tiada suka kepada kata-kata kotor dan perilaku yang cabul." Kerana itu, kita seharusnya menjaga lidah kita agar tidak mengeluarkan perkataan yang sia-sia,apatah lagi kata-kata yang boleh menjatuhkan maruah seseorang dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya. Ini jelas dari hadith Rasulullah s.a.w maksudnya: "Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan."

Dan sabda Rasulullah lagi: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam saja." Antara bencana lidah adalah berbohong. Memang kita sudah ketahui akan dosa apabila berbohong tetapi kadang-kala kita melakukannya apabila kita berborak-borak dengan teman-teman. Kita mengada-adakan cerita untuk menjadi bahan ketawa. Kita menambah-nambah cerita orang lain untuk menjadi lebih menarik. Ini bukan sahaja membawa dosa mengumpat, bahkan ia
membawa dosa fitnah. Dan fitnah itu adalah lebih besar dosanya dari membunuh. Lihatlah contoh Rasulullah s.a.w. Baginda juga bergurau senda dalam kehidupan seharian. Baginda juga bergurau senda dan bergembira dengan isteri-isterinya, tetapi baginda tidak pernah mengadakan suatu yang palsu dalam gurau sendanya. Rasulullah bersabda: "Aku pun turut bergurau senda, tetapi aku tiada mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka."

Inilah akhlak Rasulullah. Maka kita seharusnya cuba mencontohi baginda. Marilah kita jauhkan diri kita dari berkata-kata yang sia-sia, berkata yang tidak benar dalam senda gurau dan kurangkanlah berborak-borak. Berkata Umar Al-Khattab: Siapa yang suka bergurau saja, nescaya orang akan memandang ringan terhadapnya. Dan berkata Ibnu As kepada puteranya: "Wahai anakku! Jangan engkau berani bergurau-senda dengan orang yang berpangkat kelak ia akan memusuhi kamu. Dan jangan pula kepada orang yang
rendah budi, kelak ia akan kurang ajar terhadapmu."
Related Posts with Thumbnails