Have an account?

Monday 18 April 2011

Undang-undang Islam: Perbandingan dan Penelitian di Beberapa Negara Islam Selepas Merdeka

PDF Print E-mail
Disediakan Oleh: Prof. Madya Dr. Abdul Halim El-Muhammady

I: Kedudukan Undang-undang Syariah

Selepas perang Dunia Kedua kebanyakan negara Islam telah mencapai kemerdekaan tetapi dalam perundangan ia masih mengamalkan konsep perundangan dari luar tanpa mengambil kira samada ia sesuai atau tidak dengan suasana masyarakat Islam dan ruh agama Islam itu sendiri. Sejak daripada penerimaan Anglo-Muhammaden Legal System dan Franch-Muhammaden Legal System yang dipakai secara bersama dengan beberapa bahagian Undang-undang Islam yang masih baki diamalkan sebelum kemerdekaan ia menimbulkan banyak masalah.
Kedudukan Undang-undang Islam di negara-negara Islam selepas bebas daripada penjajahan Barat dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan:

1. Negara yang mengamalkan Undang-undang Islam sepenuhnya tanpa ada sebarang perubahan dan tidak dikodifikasikan samada bidang keluarga atau jenayah.

2. Negara yang didapati Undang-undang Syaricah diubah berdasarkan perubahan undang-undang moden yang diwarisi daripada penjajahan Barat yang mereka istilahkan perubahan itu sebagai Reformasi Undang-undang (Law Reform)

3. Negara yang meninggalkan Undang-undang Syaricah dan mengambil undang-undang moden sebagai gantinya tanpa mengambil kira terhadap keperluan
agama dan masyarakat Islam.

Berdasarkan pembahagian di atas kita dapati, kebanyakan negara Islam masa kini adalah berada dalam kategori kedua, dari sudut perundangan, manakala yang pertama ialah negara Arab Saudi dan kategori yang ketiga ialah negara Turki.

Dalam membincangkan negara-negara yang berada dalam kategori kedua ini akan diambil beberapa negara yang melakukan reformasi undang-undangnya tanpa mengubah struktur perundangan asalnya, dan juga akan dibincangkan negara-negara yang membuat perubahan sistem undang-undang secara menyeluruh.

A. Negara-Negara Yang Membuat Reformasi Undang-Undang Secara Terbatas

Apa yang dimaksudkan reformasi undang-undang di negara-negara Islam selepas mencapai kemerdekaan ialah negara-negara Islam itu cuba menyelaraskan dan mengemaskinikan undang-undang yang sedia ada dengan tidak mengubah struktur undang-undang yang diamalkan di zaman penjajah. Undang-undang yang digubal itu adalah samada berasaskan satu madhhab tertentu sahaja atau mengambil pandangan madhhab tertentu dan mengambil juga pendapat madhhab-madhhab yang lain yang muktabar. Negara-negara yang terlibat dengan reformasi yang dimaksudkan di atas antaranya ialah Mesir, Jordan, Syria, Algeria, Iraq, Iran dan Pakistan. Di tenggara Asia pula seperti Malaysia, Brunei dan Indonesia. Reformasi ini berlaku juga di beberapa Negara di Utara Afrika seperti Tunisia dan Marocco. Reformasi yang berlaku ini melibatkan sebahagian besarnya undang-undang diri dan keluarga seperti undang-undang perkahwinan, pusaka, wasiat dan wakaf, serta undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan-kesalahan akhlak Islam dan keagamaan. Dalam bidang sivil, jenayah dan prosedur juga ada dibuat reformasi.

Reformasi undang-undang subtantif ini adalah melibatkan penyesuaian terhadap pemikiran madhhab yang sesuai dipakai dalam sesebuah negara berkaitan undang-undang yang direformasikan, tetapi ia bukan bermaksud reformasi terhadap pemakaian keseluruhan Undang-undang Islam. Justeru itu reformasi yang dilakukan itu lebih kepada mengambil prinsip-prinsip dan hukum-hukum yang dipakai oleh madhhab-madhhab tertentu dan digubal dalam bentuk akta dan enakmen sebagaimana yang diamalkan di negara-negara Barat.

Kandungan undang-undang yang terlibat dalam reformasi ini ialah undang-undang substantif dan regulatri. Contohnya peruntukan perceraian yang diberikan kepada suami disertakan dengan syarat-syarat perundangan tertentu, supaya tidak disalahgunakan kerana
perceraian yang diberikan kepada suami.

Selain itu ada juga berlaku reformasi ini dalam bidang sivil, umpamanya di Mesir di peringkat awal reformasinya telah meletakkan Undang-undang Islam sebagai salah satu daripada sumber undang-undangnya dalam bidang sivil kemudiannya telah dijadikan Syaricah itu sebagai undang-undang utama dalam tahun 1980. Tetapi dalam perlaksanaan kedudukannya masih tidak jelas.
Perubahan Undang-undang Sivil agak ketara di masa kebelakangan ini terutamanya dalam bidang muamalat kewangan; seperti Mesir, Jordan, Saudi, Malaysia, Bahrain, Kuwait, Negara-Negara Emirat dan lain-lain. Didapati negara-negara Islam yang mewujudkan perbankan Islam telah membuat reformasi undang-undangnya dengan membuat peruntukan khas kepada undang-undang sivil yang sedia ada bagi membolehkan bank Islam diwujudkan di negara tersebut yang berasaskan ‘bebas faedah’ di samping bank konvensionalnya masih beroperasi penuh sebagaimana biasa.

Dalam bidang jenayah juga ada berlaku proses reformasi ini umpamanya Malaysia telah menyeragamkan Undang-undang Jenayah Syaricah dan Prosedur Syaricahnya di semua negeri. Proses ini berlaku sejak tahun 1985 sehingga 1999. Dengan reformasi ini Undang-undang Jenayah Syaricah yang ada peruntukan dalam Undang-undang Pentadbiran Majlis Agama Islam negeri-negeri sebelum ini dapat diseragamkan dan diperincikan sebahagian besarnya sekalipun perlaksanaannya berada dalam bidang kuasa negeri masing-masing.

B. Negara-Negara yang Membuat Reformasi Undang-Undang Secara Menyeluruh

Terdapat beberapa Negara Islam yang membuat reformasi perundangannya lebih menyeluruh selepas mencapai kemerdekaan. Negara–negara itu ialah Sudan, Pakistan dan Nigeria. Selain itu, Negara Saudi dan Utara Yaman juga mengamalkan Undang-undang Islam sepenuhnya sejak dari awal.
Perbincangan di sini menumpukan tiga buah negara iaitu Pakistan, Sudan dan Nigeria.

Pakistan

Pakistan dari tahun 1947 sehingga 1979, telah melaksanakan Undang-undang Jenayah India 1860 yang telah diubahsuai namanya kepada Undang-undang Jenayah Pakistan (Pakistan Penal Code), dan Undang-undang Prosedur Jenayah India 1898 kepada Undang-undang Prosedur Jenayah Pakistan (Pakistan Criminal Prosedur Code). Kedua-dua undang-undang ini telah diadaptasikan dan dibuat perubahan dari masa ke semasa untuk memenuhi keperluan setempat, tetapi prinsip dan struktur Undang-undang Jenayah asal itu masih kekal tidak berubah.

Apabila presiden Zia-ul-haq mengetuai pemerintahan Pakistan beliau memandang serius terhadap perlaksanaan Undang-undang Syaricah di Pakistan. Lalu diarahkan supaya digubal Undang-undang Jenayah dan hukuman keseksaannya yang berasaskan prinsip-prinsip al-Qur’an yang berkaitan dengan hudud, takzir, Qisas dan Diyat. Maka tugas ini dilaksanakan oleh Lembaga Ideologi Islam Pakistan (Islamic Ideology Councils)
Undang-Undang Jenayah yang digubal dan dikuatkuasakan adalah seperti berikut:

1.Offences against Property (Enforcement of Hudud Ordinance 1979)
2.Offences of Zina (Enforcement of Hudud Ordinance 1979)
3.Offences of Qadhf (Enforcement of Hudud Ordinance 1979)
4.Prohabition (Enforcement of Hudud) Order 1979
5.Execution of the Punishment of Whipping Ordinances 1979
6.Baluchistan Prohabition (Enforcement of Hudud) Rules 1979
7.Punjab Prohibition (Enforcement of Hudud) Rules, 1979.

Berhubung dengan Undang-undang Qisas dan Diyat digubal dan dikuatkuasakan kemudian dan penyemakan akhir dibuat pada tahun 1984, dan dikuatkuasakan kemudiannya.
Dua pendekatan yang digunakan oleh pemerintah Pakistan dalam reformasi Undang-undang Jenayah di Pakistan iaitu perubahan beberapa bahagian sahaja daripada undang-undang yang sedia ada dan satu lagi ialah penggubalan undang-undang baru untuk menggantikan undang-undang yang lama dalam bidang berkenaan. Undang-undang Jenayah yang dilakukan ke atas Undang-undang Jenayah Pakistan 1960 penggubalan sebahagian daripadanya ialah tentang kesalahan jenayah hudud seperti minum arak, mencuri, merompak, zina dan Qadhf. Ia sebagai tambahan kepada undang-undang yang sedia ada, dan membatalkan peruntukan kesalahan khas zina yang melibatkan suami isteri yang terdapat dalam undang-undang lama.

Pendekatan ini juga digunakan pada undang-undang Qisas dan Diyat di mana beberapa peruntukan sahaja diubah daripada peruntukan Undang-undang Jenayah pembunuhan yang lama, contohnya penambahan terhadapnya seperti Qatl, Qisas, diyah, arsh dan dhaman. Demikian juga perubahan terhadap kuasa pengampunan terhadap penjenayah yang kuasanya dalam undang-undang lama kepada pemerintah diubah kuasa keampunan itu kepada keluarganya. Perubahan ini dibuat dalam seksyen 53, 54, 55 dan artikel 299 Penal Kod.

Pendekatan yang kedua dalam reformasi ini ialah menukarkan keseluruhan undang-undang lama kepada undang-undang yang baru. Ia melibatkan undang-undang tertentu sahaja seperti Undang-undang Zakat dan Usyur 1979, dan Undang-Undang Keterangan 1985. Undang-undang baru ini telah mengambil tempat Undang-undang Keterangan yang lama.

Sudan

Sudan sebuah Negara Jajahan British di akhir kurun kesembilan belas, maka dalam bidang undang-undang, kerajaan British telah membawa undang-undang yang diamalkan di India ke Sudan. Antara undang-undang yang dibawa ke Sudan ialah:

1. Penal Kod India 1960 (Tanzirat al-Hind)
2. Kod Prosedur Jenayah 1898 (Zabidat-e-Faqjdari)

Kedua-dua undang-undang ini telah digubal semula (re-enacted) pada tahun 1925 dan undang-undang baru ini telah dikuatkuasakan hampir setengah abad. Kemudian selepas merdeka, kedua-dua undang-undang ini digubal lagi dan dikuatkuasakan pada tahun 1974. Mengikut Perlembagaan Tetap Sudan 1973, artikel 9 menyatakan bahawa Undang-undang Islam dan adat merupakan sumber utama perundangan.

Pada tahun 1983, Presiden Numairi sebagai Presiden Negara Sudan ketika itu mengishtiharkan rancangan untuk mengislamisasikan seluruh sistem perundangan di Sudan. Dengan ini perubahan besar telah berlaku dalam sistem perundangan di Sudan di mana semua undang-undang terpaksa digubal semula. Penggubalan ini berlaku kepada Akta Sivil Prosedur 1974, Akta Prosedur Jenayah 1974, Penal Kod 1974, Akta Kontrak 1974, Akta Jualbeli 1974, Akta Agensi 1974, kemudian diikuti dengan perubahan baru pada tahun 1983 yang melibatkan Akta Prosedur Sivil 1983, Akta Prosedur Jenayah 1983, Penal Kod 1983, Akta Judisiari 1983, Akta Keterangan 1983, Akta Advokasi 1983 dan Akta Transaksi Sivil 1984.

Penggubalan undang-undang yang dilakukan pada tahun 1983, adalah bertujuan untuk menjadikan Undang-undang Islam seluruhnya sebagai undang-undang negara. Sudan nampaknya mengambil pendekatan yang drastik di mana semua jenis undang-undang telah digubal semula dan dikuatkuasakan seluruhnya dalam masa yang singkat, tetapi di Pakistan sebahagian undang-undang dibuat perubahan kepada undang-undang yang sedia ada seperti perubahan Undang-undang Hudud dan Qisas ke atas undang-undang jenayah yang sedia ada, manakala penggubalan undang-undang baru hanya dibuat kepada “bidang” undang-undang yang belum ada atau dianggap tidak lengkap untuk keperluan semasa.

Nigeria

Nigeria sebuah negara yang terletak di sebelah Barat Benua Afrika yang penduduknya berbilang kaum. Penduduk Islam dianggarkan lebih kurang 60% daripada keseluruhan penduduk Nigeria, yang bakinya adalah penduduk bukan Islam. Pada 27 Januari 2000, Nigeria memperkenalkan Undang-undang Jenayah Islam sepenuhnya iaitu hudud, qisas dan ta’zir. Undang-undang jenayah ini mula dilaksanakan di negeri Zamfara, kemudian diikuti oleh sembilan negeri lagi di bahagian utara. Undang-undang Jenayah ini ada sebanyak 9 undang-undang yang dikuatkuasakan di sembilan buah negeri di utara yang penduduk majoritinya muslim dan undang-undang ini dilaksanakan ke atas orang-orang Islam.

Sebelum daripada Undang-undang Jenayah Islam ini dikuatkuasakan, Nigeria menguatkuasakan Undang-undang the Northern Nigeria Penal Code sejak tahun 1960. Undang-undang ini masih berkuatkuasa di Nigeria ke atas orang-orang bukan Islam secara umumnya. Undang-undang Jenayah Syaricah ini dilengkapkan dengan Undang-undang Prosedur Jenayah Syaricah.

Perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syaricah di negeri-negeri di Nigeria diawasi oleh Lembaga Ulama’ yang diwujudkan berdasarkan Peruntukan Sharia Courts Establishment Law 1999. Fungsi lembaga ini ialah menyelia, menilai dan memberi panduan tentang perlaksanaan Undang-undang Syaricah di negeri-negeri yang melaksanakan undang-undang ini.

Undang-undang Jenayah yang dilaksanakan di negeri-negeri utara Nigeria ini terdiri daripada undang-undang hudud, qisas dan ta’zir.

Jenayah hudud adalah terdiri daripada kesalahan-kesalahan zina, sumbang mahram, liwat, musahaqah, ityan al-baha’im, qadhf, tuduhan menghina, mencuri dan merompak.

Jenayah qisas pula terdiri daripada kesalahan-kesalahan; membunuh, mencederakan dan tindakan jenayah membawa pengguguran, mencederakan janin, mendera kanak-kanak dan menggugurkan anak.


II: Langkah-langkah Ke Arah Perlaksanaan Syaricah

Pengertian Perlaksanaan Undang-undang Islam

Perlaksanaan Undang-undang Islam yang dimaksudkan di sini ialah mengimplimentasikan undang-undang Syaricah dan menentukannya dalam konteks hubungan kemasyarakatan melalui penyediaan undang-undang dan statut-statut yang memberi kuasa kepada pemerintah untuk melaksanakannya dan menguatkuasakannya dalam hubungan individu, institusi-institusi kerajaan dalam bidang ekonomi, kewangan, penyiaran dan lain-lain. Dan menyediakan polisi-polisi yang menentukan pergerakan dan kegiatan masyarakat dalam berbagai bidang serta menentukan arah tujuannya.

Perlaksanaan syaricah ini adalah untuk mencapai objektif berikut:

1. Mematuhi hukum-hukum Allah yang terkandung dalam perintah dan larangan-Nya.

2. Membebaskan diri daripada cengkaman undang-undang asing yang dipaksa oleh kuasa barat ke atas negara-negara jajahannya.

3. Membangun sistem perundangan Islam untuk membantu negara Islam dalam menggembleng tenaga bagi tujuan mencapai kebebasan hidup yang berasaskan prinsip-prisip Islam dalam persaudaraan, persamaan dan jaminan masyarakat.

4. Menentukan garis panduan dan asas-asas kegiatan masyarakat berdasarkan ukuran syara’ dalam aspek keadilan dan sumbangan kepada masyarakat dalam berbagai aspek kehidupan untuk membangun tamadun umat dalam bidang ekonomi, politik dan sistem masyarakat.

Perlaksanaan syaricah yang dimaksudkan di sini adalah luas yang mencakupi bidang perundangan, ekonomi, politik, akhlak dan segala kegiatan masyarakat.

Langkah-langkah Perlu diambil Untuk Perlaksanaan Undang-Undang Islam

Memandangkan Undang-undang Islam telah lama terpinggir dari arus perdana perundangan kerana angkara penjajah, maka langkah-langkah perlu diambil untuk mengembalikan semula undang-undang Islam supaya dapat dilaksanakan dalam masyarakat. Ada tiga perkara yang perlu diambil perhatian bagi tujuan melaksanakan undang-undang Islam.

1.Mewujudkan institusi kajian yang berautoriti

Memandangkan Undang-undang Islam ini telah lama terhenti perkembangannya dalam aspek perlaksanaannya, maka ia memerlukan kajian yang menyeluruh untuk menjadikan undang-undang Islam itu relevan dan dapat dilaksanakan dalam masyarakat masa kini. Untuk itu, satu kajian menyeluruh perlu dibuat terhadap Undang-undang Islam itu supaya melalu kajian itu dapat diambil asas-asas perundangan Islam yang dapat dilaksanakan dan sesuai dipakai oleh sesebuah negara kerana syaricah Islam itu didapati ada terdapat perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’ dalam isu-isu tertentu, terutamanya apabila sesebuah negara itu telah terikat dari sudut amalan masyarakatnya dengan madhhab fiqh tertentu.
Selain itu, kajian terhadap undang-undang yang diamalkan dalam masyarakat juga perlu dibuat untuk menentukan kedudukan undang-undang yang diamalkan itu adakah bercanggah dengan Islam atau tidak. Maka dengan kajian ini akan jelas kepada kita antara undang-undang yang tidak bercanggah dengan syaricah yang perlu dikekalkan dengan undang-undang yang bercanggah dengan syaricah yang perlu dihapuskan.
Melalui kajian ini dapat membantu untuk mendapatkan Undang-undang Islam yang sesuai untuk masyarakat setempat, dan di waktu yang sama dapat membantu untuk menilai undang-undang semasa, yang patut diteruskan dan yang patut dihapuskan. Badan kajian ini telah pun wujud di negara-negara yang berusaha untuk melaksanakan syaricah seperti Pakistan dengan Islamic Ideology Council dan Sudan dengan Majma’ al-Fiqhnya.

2. Membina Kesedaran Masyarakat tentang Kepentingan Undang-undang Islam

Masyarakat yang telah leka hidup dengan undang-undang penjajah begitu lama perlu disedarkan mereka. Bagi menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan Undang-undang Islam ini perlulah disalurkan melalui saluran-saluran rasmi dan tidak rasmi. Melalui saluran rasmi, aspek Undang-undang Islam itu perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan terutama di peringkat menengah dan pengajian tinggi. Jika ini dapat dilakukan, maka sebahagian besar masyarakat akan dapat memahami Undang-undang Islam dengan betul dan merasa kepentingannya dalam hidup.

Selain daripada saluran rasmi, saluran tidak rasmi juga perlu digunakan untuk memberi kesedaran dan kefahaman terhadap Undang-undang Islam. Ia dapat disalurkan melalui media cetak dan elektronik seperti akhbar-akhbar, majalah-majalah, radio, televisyen, seminar-seminar, wacana-wacana ilmiah, khutbah Jumaat dan sebagainya. Dengan penyebaran demikian, masyarakat akan mengetahui tentang kandungan undang-undang Islam dan kepentingannya untuk kehidupan mereka.

3. Menggubal Undang-undang Islam dalam Bentuk Akta dan Statut

Khazanah perundangan Islam amat banyak dalam kitab-kitab fiqh dari berbagai madhhab; Maliki, Hanafi, Shafici dan Hanbali. Bagi tujuan perlaksanaan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan sesuatu kes dengan merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang berjilid-jilid tebalnya. Oleh itu, adalah lebih praktikal sekiranya Undang-undang Islam itu dapat digubal dalam bentuk kanun, yang kandungannya adalah berbentuk umum dalam bidang undang-undang tertentu. Dengan adanya undang-undang yang digubal ini memudahkan para pengamal undang-undang samada hakim, peguam atau pihak-pihak lain yang terlibat dapat merujuk kepadanya. Undang-undang yang digubal ini hendaklah menyeluruh dan meliputi perlembagaan, jenayah, sivil, prosedur, keterangan dan sebagainya.
Ada setengah kalangan mempertikaikan tentang kewajaran penggubalan undang-undang dan mengkodifikasikannya untuk dikuatkuasakan di dalam sesebuah negara. Mereka berpendapat langkah ini dianggap sebagai amalan yang dipengaruhi oleh tradisi perundangan barat, dan dalam konteks syaricah tidak perlu kerana tidak ada amalan demikian dilakukan oleh ulama’-ulama’ dahulu dan syaricah telah dilaksanakan lebih daripada seribu tahun yang lalu. Kadi-kadi dapat merujuk kepada kitab-kitab fiqh untuk menyelesaikan kes-kes yang dikemukakan. Langkah ini juga akan mengikat kebebasan hakim untuk berijtihad dalam memutuskan sesuatu kes.
Pandangan yang menolak usaha penggubalan dan kodifikasi undang-undang ini tidak berasaskan bukti-bukti yang kukuh. Dalam tradisi Islam, usaha kodifikasi ini telah lama berlaku dalam sejarah keilmuan Islam, umpamanya al-Qur’an dan Hadith, demikian juga Perlembagaan Madinah. Oleh itu, dalam usaha untuk mengkodifikasikan undang-undang Islam ini, kita boleh menggunakan Qiyas dan maslahah sebagai asas untuk mengharuskan usaha ini. Ini kerana, ia sememangnya diperlukan untuk memudahkan pentadbiran kehakiman dan pihak-pihak yang terlibat seperti hakim, peguam dan sebagainya.

Pengkanunan undang-undang ini dalam prosesnya harus diambil perhatian perkara-perkara berikut:

1. Pemerintah mempunyai autoriti untuk menentukan madhhab tertentu atau pendapat faqih tertentu untuk digunapakai di sesebuah negara. Hak ini berada di bawah peruntukan maslahah di mana dalam kaedah fiqh memperuntukkan, “Pemerintah (Imam) mempunyai hak autoriti ke atas rakyatnya berdasarkan maslahah.”

2. Pemerintah mempunyai hak untuk memilih pendapat-pendapat yang difikirnya lebih kuat alasannya dan lebih sesuai untuk dikuatkuasakan ke atas rakyatnya.

Kebaikan daripada usaha kodifikasi undang-undang ini dapat diringkaskan sebagaimana berikut:

a) Kodifikasi undang-undang ini merupakan usaha meringkaskan undang-undang dan pandangan fuqaha’ dalam satu madhhab atau berlainan madhhab yang dapat dilaksanakan dalam masyarakat.

b) Usaha kodifikasi ini dapat menentukan keperluan hukum syara’ untuk keperluan perlaksanaan yang dapat mendatangkan kebaikan kepada masyarakat di tempat dan masa tertentu.

c) Melalui kodifikasi ini dapat menyeragamkan pembawaan kehidupan umat dalam satu wadah undang-undang yang sama, berdasarkan autoriti fiqh yang kuat.

d) Melalui kodifikasi ini, ia dapat dilaksanakan dan dapat dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa supaya rakyat mematuhi dan beramal dengan undang-undang ini.

e) Melalui kodifikasi ini, pihak berkuasa dapat memantau tentang perlaksanaan undang-undang ini.

f) Ia juga dapat memudahkan para fuqaha’ dan pengamal undang-undang untuk membuat ulasan dan perbandingannya dengan pendapat-pendapat lain dan memudahkan pengamal undang-undang dan pelajar-pelajar untuk membuat kajian dan mempelajarinya.

g) Ia memudahkan para hakim untuk melaksanakannya kerana ia tidak perlu merujuk kepada sumber-sumber fiqh yang banyak bilangannya.

h) Ia juga dapat mengurangkan percanggahan pendapat dan keputusan kes-kes yang diputuskan oleh hakim.

i) Ia dapat membantu dan memberi kemudahan kepada masyarakat awam untuk memahami undang-undang yang dikuatkuasakan dalam negara tanpa perlu merujuk kepada sumber-sumber fiqh yang banyak.

j) Dengan ketiadaan kodifikasi undang-undang ini, maka ia boleh mendorong pemerintah untuk mengambil undang-undang asing yang sedia ada untuk menjadi asas kepada pentadbiran keadilan negara.

Kesimpulan

Perlaksanaan Undang-undang Islam adalah suatu tuntutan agama dan ia adalah sebagai satu ciri untuk kesempurnaan identiti negara Islam itu sendiri. Masyarakat Islam dalam sepanjang sejarahnya tidak pernah keluar daripada tuntutan melaksanakan syaricah, kecuali jika ada keadaan-keadaan tertentu yang memaksa mereka supaya mengurangkan perlaksanaan syaricah dalam bidang-bidang tertentu kerana dipaksa oleh kuasa penjajah. Pengalaman sejarah hitam ini tidak sepatutnya dijadikan penghalang untuk kembali kepada perlaksanaan Undang-undang Islam secara lebih lengkap.
Sepatutnya, selepas negara Islam bebas daripada kuasa penjajah, langkah-langkah positif perlu diambil bagi mengembalikan semula Undang-undang Islam ke pangkuan umat. Untuk itu perlulah kepada penyediaan dan penggubalan undang-undang yang lengkap untuk mengambil alih undang-undang penjajah, dan membina kefahaman umat terhadap kepentingan Undang-undang Islam untuk kekuatan negara dan perpaduan umat, serta menyusun sistem pentadbiran kehakiman yang sesuai dengan keperluan undang-undang syariah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails