Have an account?

Monday 18 April 2011

Penjagaan Harta Anak Yatim

  • Menurut Islam, amatlah dititikberatkan supaya kita menjaga hak anak yatim agar ianya terpelihara. Perkara ini telah dijelaskan di dalam Ayat Al-Quran dan Hadis.
  • Al-Maaa’uun : Ayat 1-2 : “ Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim
  • Surah Adh-Dhuha : Ayat 9 - Allah SWT telah berfirman “Adapun terhadap anak yatim, maka janganlah kamu melakukan sewenang-wenangnya”.
  • Surah Al-An’am : Ayat 152 – “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik(untukmengawaldan mengembangkannya, sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”
  • Hadis Riwayat Al-Bukhari - Diriwayatkan daripada dari Sahl bin Saad r.a katanya: Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda :"Aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini." Sambil Baginda menunjuk dengan kedua jarinya -jari telunjuk dan jari tengah (yang dirapatkannya).
  • Definisi anak yatim adalah anak yang telah di tinggal (kematian) orang tuanya baik itu dari ayah,atau ibu,atau ayah dan ibu.
  • Kanak-kanak yang menjadi anak yatim disebabkan kehilangan ayah atau ibu atau kedua-duanya sekali terdiri dari beberapa golongan. Ada anak yatim yang sihat sempurna akalnya dan ada anak yatim tidak sempurna sifatnya seperti terencat akal dan kurang upaya.
  • Oleh yang demikian, perkara yang paling penting adalah kebajikan mereka haruslah dititikberatkan. Ini bagi mengelakkan harta pusaka yang menjadi bahagian anak yatim tersebut disalahguna demi kepentingan penjaga.
  • Apabila seorang mati dan meninggalkan anak yang masih hidup, maka tanggungjawab untuk menjaga anak yatim tersebut telah berpindah kepada penjaganya.
  • Tugas penjaga yang menjaga anak yatim tersebut termasuklah urusan makan minum dan menguruskan harta anak yatim tersebut dengan baik sehingga anak yatim tersebut boleh menguruskan harta dan dirinya sendiri.
  • Perkara ini telah disokong oleh Hadis Riwayat Al-Tarmizi - Dari `Amru bin Syu'aib, dari bapanya, dari datuknya, bahawa Nabi Muhammad S.A.W. telah berucap kepada orang ramai yang lalu bersabda: "Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta,  hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) … 
  • Hadith Riwayat Al-Imam Al-Syafi'i, rahimahullah , bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: "Carilah jalan yang menguntungkan semasa kamu menjaga dan mengurus harta anak yatim….”
  • Hadis Riwayat Al-Imam Al-Syafi'i juga ada menyatakan, maksudnya: Bahawa Saiyidatina `Aisyah r.a., semasa memelihara beberapa orang anak yatim (anak-anak saudaranya), ia mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anak yatim itu dari harta mereka dan juga ia memperniagakan harta mereka untuk mengembangkannya.
2. Kepentingan Menjaga Harta Anak Yatim
  • Menjaga harta anak yatim dengan baik adalah dituntut dalam Islam. Ianya telah dijelaskan dalam Surah An-Nisa’, ayat 5 – “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta (yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik”.
Dan juga dalam ayat ke-6 Surah An-Nisa’ yang bermaksud :”Dan ujilah anak-anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk berkahwin. Kemudian jika menurut pandanganmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta, maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya. Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas yang berpatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut. Kemudian apabila kamu menyerahkan harta kepada mereka, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (tentang penyerahan itu) bagi mereka. Dan cukuplah Allah sebagai pengawas (atas persaksian itu)”.
  • Dalam menguruskan anak yatim, penjaga dibenarkan mengguna harta anak yatim tersebut, tetapi dengan kadar yang diperlukan sahaja. Ini agar urusan atau tanggungjawab yang dipegang oleh penjaga untuk menjaga anak yatim tersebut tidak menjadi beban kepadanya.
  • Keterangan Saidatina Aisyah r.a - Tentang firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa iaitu wali (penjaga) yang menjaga anak-anak yatim yang miskin bolehlah dia makan dari harta anak yatim peliharaannya dengan baik, dengan katanya: Ayat ini diturunkan kepada wali (penjaga) harta anak yatim yang mengurus harta mereka. Mereka boleh mengambil harta tersebut sekiranya dia amat berhajat menggunakan wang tersebut”.
  • Dengan ini jelas bahawa Islam menegah kita dari menggunakan harta anak yatim melebihi kadar yang diperlukan. Tujuannya adalah agar harta anak yatim tersebut terpelihara dan tidak disalaguna oleh penjaga.
  • Seterusnya Surah An-Nisa : Ayat 10 – “Sesungguhnya orang -orang yang memakan harta akan-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nya”.
  • Sehubungan dengan itu, Islam telah memberikan amaran keras mengenai perkara ini bagi memastikan tidak berlakunya masalah salahguna harta anak yatim kerana ia akan memudaratkan anak yatim tersebut dan juga penjaganya. Ia juga bagi mengelakkan sifat tamak wujud di dalam diri penjaga.
  • Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah telah bersabda: "Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah." Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: "Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukanNya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan RasulNya dengan fitnah melakukan perbuatan zina."
3. Tugas Pemegang Amanah menjaga harta anak yatim
  • Definisi Pemegang Amanah adalah merujuk kepada orang yang dipertanggungjawabkan.
  • Orang perseorangan atau badan berkanun atau institusi yang dilantik atau dipilih dan diberikuasa untuk mengawasi atau mentadbir harta/ aset.
  • Kepentingan menjaga harta anak yatim adalah bagi menjamin harta tersebut tidak dipakai berlebihan oleh penjaga demi kepentingan dirinya. Ini kerana harta yang ditinggalkan adalah merupakan amanah dan pemegang amanah adalah merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga harta tersebut demi kebajikan anak yatim tersebut. Ini bagi mengelakkan masalah seperti harta telah digunakan oleh penjaga tetapi nasib anak yatim tersebut terbiar.
  • Keadaan yang berlaku apabila individu dilantik sebagai pemegang amanah, segala harta diberi terus kepada penjaga untuk menguruskan harta tersebut untuk kebajikan anak yatim tersebut. Persoalan yang timbul dapatkah penjaga tersebut mentadbir harta tersebut dengan baik untuk satu jangka masa sehingga anak yatim tersebut mencapai umur 18 tahun?
  • Malah, sekiranya pemegang amanah yang dilantik adalah seorang individu terdapat banyak persoalan yang timbul iaitu :-
    • Adakah beliau seorang yang amanah?
    • Adakah beliau dapat mentadbir harta pusaka tersebut dengan pembahagian yang adil?
    • Adakah beliau masih ada (hidup) apabila harta pusaka tersebut hendak ditadbirkan?
Jelas kepada kita bahawa untuk melantik pemegang amanah yang terdiri daripada seorang individu tidak menjadi satu kesalahan, tetapi kelemahan yang akan timbul adalah seperti persoalan di atas. Oleh itu, sekiranya pemegang Amanah yang dilantik adalah Amanah Raya Berhad masalah ini dapat dielakkan kerana :-
    • Amanah Raya Berhad telah beroperasi lebih dari 80 tahun.
    • Mempunyai kepakaran dalam pentadbiran Harta Pusaka, di sini pentadbiran harta pusaka dapat dipercepatkan
    • Pembahagian dibuat dengan adil mengikut hukum Islam
    • Setiap hak waris dijaga, sekiranya harta tersebut melibatkan bahagian anak yatim iaitu yang berumur 18 tahun ke bawah, satu akaun khas akan dibuka yang dipanggil Akaun Amanah.
  • Perancangan pembahagian harta pusaka adalah amat penting dalam memastikan harta yang ditinggalkan itu dibahagikan dengan adil dan dinikmati oleh setiap waris. Bagi anak yatim yang berumur 18 tahun ke bawah adalah penting memastikan harta yang diwarisi diuruskan dengan baik dan diserahkan kepadanya apabila anak yatim itu genap umur 18 tahun.
  • Di Amanah Raya Berhad kami memastikan harta yang diwarisi diuruskan dengan baik, ini melalui pembukaan satu akaun yang dipanggil Akaun Amanah, khas untuk mentadbir harta anak yatim tersebut sehinggalah berumur 18 tahun dan proses penyerahan akan dibuat.
  • Ianya adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan anak yatim tersebut seperti wang saraan kehidupannya sehingga mencapai umur 18 tahun. Ini merupakan kesan jangka panjang dalam memastikan penggunaan harta yang diwarisi digunakan dengan betul.
  • Berdasarkan fail Akaun Amanah yang terdapat di ARB, terdapat beberapa sumber harta yang ditinggalkan kepada anak yatim selepas kematian ibu atau bapanya iaitu :-
    • Dari pampasan akibat kemalangan daripada Syarikat Insurans
    • Melalui Perintah Mahkamah
    • Harta yang telah ditukar nama ketika ibu atau bapa masih hidup
    • Harta yang disediakan oleh ibu atau bapa ketika mereka masih hidup seperti Akaun Bank – ASB Remaja
    • Melalui Wasiat, iaitu pembahagian telah dibuat dan anak yatim tersebut masih dibawah umur 18 tahun yang dipersetujui oleh semua waris.
Penutup
  • Surah Al Baqarah Ayat 177 : “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan , akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa”.
  • Untuk renungan kita bersama : Sekiranya kita menyapu / mengusap kepala anak yatim, fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails