Sebelum ini telah diterangkan pandangan mazhab asy-Syafii mengenai kuasa seorang wali dalam menikahkan anak gadisnya. Apakah ulama mazhab lain mempunyai pandangan yang sama? Terdapat beberapa pendapat mengenai hal ini.
Pertama: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, ada dua riwayat daripada Imam Ahmad, satu riwayat menyebut bahawa wali harus menikahkan anak gadis yang sudah baligh tanpa izinnya dan riwayat kedua mengatakan tidak harus.
Riwayat yang mengatakan harus berpegang kepada hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud:
“Janda lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya, manakala anak dara diminta izin daripadanya. Dan keizinannya ialah diamnya.”
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Menurut pendapat ini, wali yang boleh menikahkan seseorang gadis tanpa izinnya adalah ayah kandung kepada gadis itu atau penerima wasiatnya (wasi). Selain mereka berdua adalah tidak harus, hatta datuk atau bapa saudaranya. Dan disunatkan bagi wali meminta izin daripada anak gadis yang ingin dinikahkan sejajar dengan saranan Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam hadis di atas. Di samping itu, disunatkan juga meminta pandangan ibu gadis tersebut kerana rapatnya hubungan antara ibu dengan anak perempuannya, dan ibu juga sama dengan ayah dari segi memikirkan jodoh serta kebahagiaan rumah tangga anaknya. Dengan cara itu, hak ibu tidak diketepikan dan hatinya akan lebih bahagia. Ibn Umar berkata bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
“Mintalah pandangan kaum wanita tentang anak-anak perempuan mereka.”
(Riwayat Abu Daud)
Sekiranya gadis tersebut sudah mempunyai pilihan sendiri yang sekufu dengannya, maka pilihannya diutamakan. Imam Ahmad berkata, pernikahan adalah hak peribadinya yang khusus. Maka wali atau wasi (penerima wasiat) tidak wajar memaksa gadis berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya. Sekiranya wali enggan menikahkan anaknya yang berusia sembilan tahun (yang sudah baligh dan berakal) atau lebih dengan lelaki pilihannya, maka wali dianggap ‘adhil (ingkar) dan gugur haknya sebagai wali. Jika berlaku berulang kali, maka dia menjadi fasiq.
Kedua: Mazhab Maliki
Seorang ayah yang siuman dan matang harus menikahkan anak gadisnya yang baligh dan berakal walaupun dengan mahar yang kurang daripada yang sepatututnya atau yang sepadan dengannya. Contohnya, jika mahar yang sepadan dengannya (mahar mithil) adalah satu pikul emas, tetapi wali menikahkannya dengan mahar satu suku dinar, ia tetap sah.
Wali harus menikahkan anaknya dengan lelaki yang lebih rendah tarafnya atau yang buruk rupanya atau lelaki yang tidak disukainya, sama ada anaknya memberi izin atau tidak selama mana anaknya itu masih dara walaupun usianya sudah lanjut dan telah menjangkau 60 tahun. Namun begitu sekiranya anak dara itu seorang yang dilihat matang oleh wali dan dia memberinya kebebasan untuk memilih, maka dalam keadaan ini wali tidak harus memaksanya. Wali tidak harus menikahkannya tanpa keizinan yang jelas daripada anaknya.
Perlu disebutkan bahawa keharusan memaksa hanya ketika pada kebiasaannya tidak timbul mudarat yang ketara dengan sebab perkahwinan itu. Sekiranya perkahwinan itu boleh membawa mudarat seperti dikahwinkan dengan lelaki yang cacat, gila, mati pucuk dan seumpamanya, maka tiada hak bagi wali memaksa anaknya.
Hak untuk memaksa ini hanya khusus bagi ayah dan wasi sahaja, dan tidak harus bagi selain kedua-duanya.
Ketiga: Mazhab Hanafi
Wali, sama ada ayah atau selainnya tidak berhak langsung menikahkan seorang gadis yang telah baligh dan berakal kerana gadis itu telah menjadi seorang mukallaf yang bertanggungjawab penuh ke atas dirinya dalam melaksanakan tuntutan hukum syarak. Dia berhak mengendalikan sendiri urusan peribadinya. Tiada seorang pun yang boleh menguasainya dan memaksanya. Dia juga boleh menikahkan dirinya sendiri tanpa perlu mendapat keizinan walinya atau menyerahkan kepada wali melaksanakan akad nikah bagi pihak dirinya. Dia harus mengakad nikah dirinya sendiri, tidak kira sama ada lelaki itu sekufu dengannya atau tidak, dan dengan mahar yang sepadan atau tidak. Dia berhak sepenuhnya mengendalikan urusan dirinya. Tiada seorang pun yang berhak menghalangnya. Antara nas yang menjadi dalil mazhab Hanafi ialah peristiwa yang diceritakan oleh Ibn Abbas radiallahuanhu bahawa seorang gadis menemui Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyatakan bahawa ayahnya telah menikahkannya sedangkan dia tidak suka. Maka baginda memberinya hak untuk memilih sama ada ingin memfasakh pernikahan itu atau tidak.
-MAZNAH DAUD
987สล็อต
-
987สล็อต หากคุณเป็น แฟน เกมคาสิโนและชอบความ ตื่น เต้นของการเล่นสล็อต
987สล็อต อย่ามองข้าม 987 Slots สำหรับสุดยอดการผจญภัยในคาสิโนของคุณ
ด้วยเกมสล็อตที่หล...
1 year ago
0 comments:
Post a Comment